// bAituL mUsLim //

"Kekecewaan mengajar kita erti kehidupan. Teruskan perjuangan kita walaupun terpaksa menghadapi rintangan demi rintangan dalam hidup"

Monday, July 24, 2006

Takwil al-Quran: Dunia dikendung akhirat dijunjung

FIRMAN Allah Taala bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman,

apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat,
maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan
tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.
Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi;
dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung”.
- Surah al-Jumu’ah, ayat 9 -10.

Akidah Islam tidak pernah mengenal satu hari dalam
seminggu dikhususkan untuk beribadat dengan meninggalkan
segala kerja untuk kehidupan dunia. Akan tetapi dalam
Islam hari-hari seluruhnya adalah hari-hari berkerja,
malah segala amalan dunia dalam Islam boleh dijadikan
ibadat dengan niat yang betul dan benar. Justeru kerana itu,
dalam ayat di atas Allah Taala menyebut tentang hari Jumaat
adalah Hari Raya Mingguan bagi orang Islam.

Namun begitu kehidupan Muslim pada hari Jumaat,
seperti biasa aktif berkerja, berniaga dan berjual beli
sebelum mengerjakan solat. Kemudian selepas itu,
bersegera kepada mengingati Allah dan solat,
setelah selesai menunaikan solat bertebaranlah
di muka bumi untuk mencari rezeki kurniaan Allah Taala.

Diceritakan bahawa Saidina Umar bin al-Khattab pernah
melihat satu kumpulan orang duduk-duduk dan bersandar
pada salah satu penjuru masjid setelah selesai menunaikan solat Jumaat,
lalu beliau bertanya kepada mereka itu: Siapa kamu?
Jawab mereka: Kami adalah orang-orang yang bertawakal kepada Allah.
Mendengar jawapan mereka itu lalu Umar naik marah dan
menghalau mereka itu dengan tongkatnya, lantas berkata:
“Janganlah kamu berpeluk tubuh daripada mencari rezeki,
berdoalah kamu semua: Hai Tuhan kami, berilah kami rezeki”.
dan sesungguhnya telah maklum bahawa langit tidak akan
menurunkan hujan emas dan juga perak.”

Sebahagian orang ada yang menyangka bahawa dengan
beriman kepada akhirat dan benar-benar memberi tumpuan
kepadanya akan mengabaikan kerja-kerja dunia.
Sesungguhnya dunia dan akhirat bagaikan dua daun neraca
timbangan yang sama berat. Ia juga bagaikan timur dan barat,
apabila kamu mendekati yang satu pasti menjadi jauh
kepada yang satu lagi. Begitulah apabila memberi tumpuan
sepenuhnya kepada akhirat akan membelakangi dunia dan
berpaling daripadanya. Memang benar sesiapa yang menjadikan
dunia sebagai matlamat dan tumpuan hidupnya pasti ia
akan menjadi jauh daripada akhirat sejauh keterikatan
hatinya terhadap dunia, begitulah sebaliknya.

Sebenarnya seorang Mukmin di tuntut di dunia ini supaya berusaha,
berkerja keras, berjuang membangun dan memakmurkannya
dengan syarat untuk tujuan akhirat. Yang demikian kerana
orang Mukmin akan menjadikan dunia sebagai ladang untuk ke akhirat.
Ladang sememangnya memerlukan tenaga usaha dan kerja,
akan tetapi hasil buahnya akan dapat dipetik sepenuhnya di
akhirat sekalipun sebahagiannya diperolehnya di dunia lagi.

Firman Allah Taala: “ Katakanlah: “Semuanya itu (disediakan)
bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia,
khusus (untuk mereka sahaja) di hari kiamat”. – Surah al-A’raf, ayat 32.

Demikianlah sebenarnya sebagai seorang Mukmin,
dunia disediakan untuk dirinya dan bukan dirinya disediakan untuk dunia.
Seorang Mukmin tidak akan menjadikan dunia sebagai tuhan,
bahkan dunia dijadikan sebagai hamba. Mukmin adalah seorang
anggota masyarakat yang aktif, bersikap membina,
berkembang dan produktif. Apabila ia bertani dilakukan dengan sebaik-baiknya,
apabila mencipta sesuatu ciptaannya rapi dan teliti,
apabila ia berniaga perniagaannya berjaya.

Pendeknya ia sentiasa berjaya dalam setiap lapangan hidup.
Sahabat Rasulullah adalah terdiri daripada petani, peniaga,
pakar dalam dunia pertukangan. Keimanan mereka terhadap
akhirat tidak menghalang mereka daripada berkerja di dunia.
Justeru kerana itu, Rasulullah pernah bersabda maksudnya:
”Jika terjadi kiamat dan dalam tanganmu ada sebiji benih,
sekiranya mampu tanamlah ia”.–_ (Hadis riwayat Imam Ahmad dan al-Bukhari).

Mengapa ditanam sedangkan kiamat akan berlaku,
tiada lagi guna dan faedah kepada seseorang.
Demikianlah membuktikan bahawa pentingnya kerja,
walaupun selepas itu tiada guna lagi.Mudah-mudahan
kita tidak terpedaya dengan anggapan bahawa apabila
mengutamakan akhirat, maka dunia tiada guna lagi.



0 Comments:

Post a Comment

<< Home